| Mendengar suara belia |
|
|
|
| Wednesday, 16 May 2007 | |
|
Oleh IRMOHIZAM IBRAHIM HARI ini lebih 75 peratus penduduk Malaysia berada di bawah umur 40 tahun manakala 11.8 juta atau lebih 40 peratus pula boleh dikategorikan sebagai belia mengikut garis panduan Dasar Belia Negara iaitu lingkungan 15 hingga 40 tahun. Kesimpulan dari perangkaan ini menunjukkan hakikat betapa Malaysia adalah sebuah negara yang rata-ratanya berwargakan anak muda yang sarat dengan tenaga serta potensi bagi menerajui proses pembangunan serta kemajuan negara bagi pusingan seterusnya. Sehubungan itu pilihan tema sambutan Hari dan Minggu Belia Negara 2007 ‘Belia Peneraju Kemerdekaan Gemilang’ adalah amat bertepatan sekali lebih-lebih lagi sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-50 pada tahun ini. Pembangunan negara semenjak lima dekad yang lalu bersifat terancang, ia tidak berlaku secara semula jadi. Berpaksikan rancangan pembangunan lima tahun yang dirancang rapi dan dilaksanakan dengan teliti Malaysia telah berjaya ditransformasikan dari sebuah masyarakat luar bandar yang rata-ratanya bergantung kepada sektor perlombongan, pertanian dan perikanan tradisional kepada sebuah masyarakat perindustrian yang moden. Hari ini proses transformasi kepada fasa ketiga arus ekonomi sedang berlaku pantas iaitu ke arah ekonomi yang lebih sarat berteraskan pengetahuan, kreativiti dan inovasi digerakkan modal insan dan kegiatan penyelidikan serta pembangunan. Usaha pembangunan negara adalah usaha yang dinamik. Ia bersifat berterusan dan tidak mempunyai titik noktah. Merealisasikan Wawasan 2020 misalnya yang digubal pada awal dekad 90-an menuntut kita tangkas melakukan proses muhasabah serta melakar perancangan pembangunan berikutnya juga meningkatkan kemakmuran yang sedia ada. Ini kerana dunia tidak berada pada keadaan statik sebaliknya ia berubah dengan penuh dinamik. Kita telah menyaksikan bagaimana apa yang diuar-uarkan sebagai teknologi masa depan pada tahun 1990 menjadi teknologi ketinggalan zaman pada tahun 2000 manakala menjelang tahun 2010 ia sudah menjadi teknologi usang yang tersadai di muzium. Untuk menjayakan matlamat islah dan pembaharuan nasional ini maka generasi belia perlu diberikan peluang yang adil serta saksama bagi menerajui usaha membawa negara kepada tingkat pembangunan yang berikutnya. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi membolehkan perkara ini berlaku? Langkah paling utama adalah pembaharuan dalam gerakan belia itu sendiri. Langkah pembaharuan ini penting kerana dari 11.8 juta belia di Malaysia hanya 3.5 juta yang berpersatuan sedangkan jika kita ingin menggerakkan tenaga, idea dan idealisme belia negara secara total kita perlu melibatkan lebih ramai lagi belia-belia Malaysia secara proaktif di dalam persatuan dan organisasi belia. Kenapa golongan belia begitu alah dengan gerakan belia ia sebenarnya ada kaitan besar dengan soal ruang lingkup untuk mereka bergerak. Penyelesaian bagi isu ini telah disediakan dengan penggubalan Akta Pembangunan Belia yang apabila dikuatkuasakan akan memberikan makna kepada slogan kepemimpinan belia oleh belia untuk belia. Marilah kita menghentikan polemik mengenai usia belia dan menerima parameter usia 15 hingga 40 tahun yang telah diterima pakai di negara ini. Untuk akta ini berkesan dan mencapai matlamat memperkasa gerakan belia secara total maka parameter umur kepemimpinan belia di semua peringkat sepertimana yang terkandung di dalam akta yang selari dengan Dasar Belia Negera perlulah dipatuhi oleh semua persatuan dan organisasi belia yang sedia ada tanpa sebarang pengecualian. Menyokong parameter umur ini bukan bermakna kita sekali-kali hendak menafikan sumbangan atau potensi mereka yang telah melepasi umur belia ini tetapi demi kepentingan belia dan negara secara keseluruhannya kita mahu keremajaan kepemimpinan organisasi serta persatuan belia perlu sentiasa dibugarkan dan yang lebih penting berada di dalam tangan belia sendiri. Mungkin satu mekanisme majlis penasihat atau penaung boleh ditubuhkan di semua organisasi dan persatuan belia yang sedia ada untuk memanfaatkan kebijaksanaan, pengalaman serta tenaga golongan belia veteran ini. Kebebasan Langkah kedua yang perlu bagi merangsang proses pembaharuan gerakan belia ialah melalui pemberian ruang lingkup kebebasan yang lebih luas kepada gerakan belia negara untuk merancang program-program belia berdasarkan suara akar umbi dan kehendak belia sendiri. Tidak dapat dinafikan pihak Kementerian Belia dan Sukan mempunyai pengaruh besar mencorakkan senario program belia melalui corak penyaluran dana. Namun untuk mendapat keberkesanan paling maksimum bagi program belia maka payung gerakan belia sendiri di peringkat Majlis Belia Malaysia, Majlis-Majlis Belia Negeri, Majlis-Majlis Belia Daerah perlu diberi peranan penentuan lebih besar untuk mencorakkan program-program yang ada. Para pegawai belia dari kementerian perlulah memainkan peranan yang lebih bersifat pemudah cara dan pembimbing bukan perancang dan pelaksana utama. Program yang diinisiatifkan sendiri oleh persatuan dan organisasi belia mempunyai peluang untuk lebih berjaya mencapai kumpulan sasaran kerana ia berasaskan kehendak akar umbi belia sendiri berbanding program yang dipaksakan ke atas mereka. Ketiga memberikan saluran dan struktur kepada tenaga, idea dan idealisme belia agar masyarakat dan negara dapat memanfaatkannya. Inisiatif penubuhan jawatankuasa tindakan/pembangunan belia yang selari dengan struktur Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Selangor sepertimana yang diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor yang juga mantan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) mungkin boleh dijadikan contoh. Ada baiknya penubuhan jawatankuasa ini diperluaskan lagi kesemua peringkat kemasyarakatan termasuk di taman-taman perumahan, di peringkat mukim dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar suara serta pendapat akar umbi belia akan ada lebih banyak saluran untuk disampaikan dan seterusnya didengar oleh pihak berkuasa. Jika kita berjaya mengambil ketiga-tiga langkah yang telah digariskan maka saya yakin dan percaya golongan belia akan berada pada kedudukan yang lebih strategik untuk menyumbang kepada pusingan pembangunan negara yang berikutnya. Saya menyeru semua pihak agar mewujudkan kerjasama bentuk baru dengan gerakan belia yang benar-benar ikhlas dan mengambil kira perspektif belia. Jika ini dapat dilakukan maka belia Malaysia akan mampu bangkit menyumbang secara bermakna bagi bersama-sama mencipta Malaysia yang diimpikan bersama. * IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Exco Majlis Belia Malaysia. |
| < Sebelumnya | Berikutnya > |
|---|
MARI BERHIMPUN DI SUNWAY
MBM INGIN MENJEMPUT SELURUH WARGA BELIA UNTUK BERSAMA-SAMA BERHIMPUN UNTUK MENENTANG KEDATANGAN PENJ...
Belia jangan dijajah kuasa siber
Kehangatan sambutan Hari Belia Negara 2008 dengan tema ‘Belia Cemerlang Negara Terbilang’masih...
Assalamualaikum dan salam 1 Belia 1 Malaysia 

| Berita Harian |
| Harian Metro |
| Malay Mail |
| NST |
| The Star |
| Home |
| About Us |
| Presidents |
| History |
| Executive Committees |
| Supreme Council |
| Bureau |
| Affiliates |
| Secretariat |
| Links |
| Download |
| Gallery |
| Gallery 2 |
| Contact Us |

Untuk bantuan, sila hubungi:
PEMADAM
No.8, Jalan Ledang
50480, Kuala Lumpur
Tel: 03-2094 1190
Faks: 03-2094 3233
Web: www.pemadam.org.my
Emel:
Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya
PENGASIH MALAYSIA
3201 Jalan Syers
Off Langgak Tunku, Bukit Tunku
50480 Kuala Lumpur
Tel: 03-6201 3179 / 0287
Faks: 03-6201 3013
Web: www.pengasih.net
Emel:
Alamat e-mail ini dilindungi dari spambot, anda harus menghidupkan JavaScript untuk melihatnya
AGENSI ANTI DADAH KEBANGSAAN
Aras 3-6, Bangunan Two IOI Square
IOI Resort, 62502 Putrajaya
Tel: 03-8949 8400
Faks: 03-8944 1931
Web: www.adk.gov.my