|
Bersama Saifuddin Abdullah
Dasar Kebudayaan Kebangsaan perlu perancangan sistematik, praktikal
KETIKA berucap merasmikan kampus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu belia mempertahankan dan membangunkan jiwa, semangat dan seni budaya kerana ia mencerminkan wajah bangsa Malaysia dan tonggak identiti rakyat.
Beliau mengingatkan; ”Jika tidak berhati-hati, kita mungkin akan kehilangan identiti kita akibat tenggelam dalam arus global.”
Mengenai Aswara pula, beliau mahu akademi itu membentuk generasi mempunyai ciri-ciri bangsa Malaysia. Sesungguhnya, pesanan Abdullah amat signifikan dan tepat pada masanya kerana akhir-akhir ini, seni dan budaya sering dipinggirkan, kecuali oleh mereka yang berkecimpung dan berminat dalam bidang itu.
Kadangkala, jika seni dan budaya diketengahkan atau diarusperdanakan, masalahnya ia diangkat sedemikian rupa bukannya kerana falsafah dan matlamat seni dan budaya, tetapi atas sebab lain. Contohnya, ketika seni dan budaya diletakkan satu bumbung dengan pelancongan, maka ia diperlakukan tidak lebih daripada sekadar produk pelancongan saja.
Budaya pula acap kali difahami sebagai sesuatu yang sempit, diwakili budaya rendah (low culture) seperti seni persembahan, manakala aspek budaya tinggi (high culture) yang lebih luas seperti falsafah dan nilai semakin dilupakan.
Namun, jika budaya dilihat dari segi seni persembahan, ia masih dikira baik sekiranya dilakukan dengan penghayatan betul. Tetapi, dalam keadaan majoriti hari ini tidak didedahkan dengan pendidikan seni dan budaya, maka kualiti sesetengah seni persembahan ditentukan menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh mereka yang tidak mengapresiasi seni budaya dengan ukuran estetika yang tepat.
Di samping itu, sebahagian daripada kita seakan-akan sudah melupakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diwujudkan sejak 1971 itu. Antara matlamatnya untuk membentuk identiti bangsa Malaysia, iaitu antara perkara diungkapkan Abdullah dalam ucapannya itu.
Masalahnya, walaupun dasar ini sudah berusia lebih 35 tahun, hakikatnya ia masih dilihat sesetengah pihak sebagai dasar kelas dua jika dibandingkan dengan dasar mengenai ekonomi, perniagaan dan kewangan.
Mungkin kedudukan dan kewibawaan dasar ini perlu dibetulkan. Mungkin ia sudah tergelincir daripada matlamatnya asal, lalu memerlukan proses penjajaran semula (realignment). Namun, pelaksanaan dasar ini tidak boleh diletakkan di bahu sesuatu kementerian atau agensi kerajaan saja. Ia perlu kerjasama pelbagai pihak baik agensi kerajaan, kerajaan negeri dan tempatan, ahli perniagaan dan badan kemasyarakatan.
Dasar ini sendiri perlu mempunyai perancangan lebih sistematik dan praktikal. Pelaksanaannya juga memerlukan pendekatan sesuai.
Disebabkan kebudayaan kebangsaan bukan rojak, maka pelaksanaannya tidak boleh berbentuk rojak. Disebabkan ia berasaskan kontrak sosial rakyat pelbagai budaya negara ini, maka pelaksanaannya tidak boleh melanggar kontrak itu.
Bagi menyahut seruan Perdana Menteri usaha dan tenaga secukupnya perlu digembleng untuk memperkasa jati diri budaya belia. Dalam hal ini, pada akhir 1990-an, Akademi Penulis, yang ditubuhkan Persatuan Penulis Nasional (Pena), menggariskan lima perkara perlu menjadi misi dan visi jati diri budaya belia, iaitu:
l Pertama: Mewujudkan belia Malaysia yang kaya (dari segi kefahaman dan penghayatan), perkasa (dari segi kreativiti dan ketrampilan) dan bangga dengan jati diri budayanya (terdiri daripada literasi dan amalan budaya) sebagai akar patriotisme dan kehidupan dalam masyarakat global dan perindustrian, serta sebagai benteng apabila berhadapan dengan pengaruh budaya asing dan negatif.
l Kedua: Melahirkan belia menguasai literasi budaya, iaitu keseluruhan unsur budaya yang terdiri daripada item budaya seperti kata-kata, watak dan sebagainya yang dikongsi masyarakat.
l Ketiga: Melahirkan belia memiliki daya apresiasi, kreatif dan berketrampilan dalam bidang seni budaya masyarakat, sama ada tradisional atau moden, pada peringkat suku kaum, tempatan atau kebangsaan; dan mengamalkannya sebagai sebahagian daripada cara hidup memperkukuhkan jati diri budayanya.
l Keempat: Melahirkan belia menguasai seni budaya akar umbinya sendiri, di samping memahami dan menghormati budaya lain dalam masyarakatnya lebih luas di negara ini dan seterusnya mampu berinteraksi secara sinergi antara satu sama lain dalam usaha sama mengukuh jati diri budaya kebangsaan, dan
l Kelima: Menggalakkan belia menjadi golongan profesional dalam pelbagai bidang seni budaya tanah air.
Usaha dan tenaga ini perlu dimainkan semua pihak, terutama pada peringkat akar umbi. Ini amat penting kerana bakat dan minat seni budaya tidak muncul dengan tiba-tiba atau terbit di atas angin. Sebaliknya, bakat dan minat itu lahir daripada peringkat akar umbi, iaitu di kampung dan di daerah, serta di sekolah dan di tempat kerja.
Dari segi lain, sekiranya universiti mempunyai sistem persekolahan di seluruh negara untuk membekalkan bakal pelajarnya, maka Aswara, contohnya, sebagai universiti seni budaya, memerlukan penggerak seni budaya pada peringkat akar umbi untuk membekalkan bakal pelajarnya.
Penggerak seni budaya akar umbi boleh jadi dalam bentuk aktivis seni budaya, pertubuhan atau institusi seni budaya, pemimpin tempatan dan jabatan atau agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Antara program seni budaya akar umbi cukup berpotensi ialah Festival Temerloh yang berlangsung selama lima tahun berturut-turut (2001 hingga 2005). Ia perkongsian bijak antara Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sebagai penganjurnya dan Anggun Performing Arts sebagai pengisi dan pengurus programnya.
Kejayaan utama Festival Temerloh ialah mencungkil belia berbakat dan membimbingnya hingga melanjutkan pelajaran. Hingga kini, dua daripadanya lulus pada peringkat diploma dalam Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), manakala empat lagi sedang menuntut di Aswara.
Bagi belia berbakat, tetapi belum berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, sebuah sekolah seni budaya dicadangkan untuk ditubuhkan di Temerloh. Tempat dan prasarana awal bagi sekolah itu sudah dikenal pasti. Ia boleh berperanan sebagai pembekal bakal pelajar bagi UiTM, Aswara dan sebagainya.
Festival dan sekolah itu turut mendapat dokongan wakil rakyat tempatan seperti Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Sarit Yusoh serta Exco Kerajaan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin.
Malangnya, atas sebab tertentu, penganjuran Festival Temerloh pada tahun berikutnya dan penubuhan sekolah seni budaya itu tertangguh.
Kini, dengan semangat baru ditiupkan Perdana Menteri, adalah diharapkan agar kedua-dua program seni budaya peringkat akar umbi itu dapat dihidupkan semula sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jati diri budaya belia.
Datuk Saifuddin Abdullah adalah Pengerusi Akademi Belia, yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002) ©The New Straits Times Press (M) Berhad |