|
Bersama Saifuddin Abdullah Dialog belia pelbagai kaum wajar dijadikan asas bentuk dasar
SATU daripada kekuatan gerakan belia ialah idealisme. Idealisme menyebabkan ia terpanggil untuk membincangkan isu besar. Inilah yang berlaku Selasa lalu, apabila Majlis Belia Malaysia (MBM) menganjurkan Persidangan Meja Bulat membincangkan Bangsa Malaysia.
Naib Presiden MBM, Azizuddin Ahmad, berkata persidangan ini bertujuan mendefinisikan kembali Bangsa Malaysia daripada perspektif belia pelbagai kaum demi pembinaan negara lebih dinamik dan maju. Ia diharap dapat menjadi terma rujukan yang disediakan belia untuk disampaikan kepada kepemimpinan negara.
Beliau maklum bahawa isu ini sering diutarakan secara emosional dengan menggunakan pendekatan perkauman yang sempit. Tetapi, beliau yakin bahawa belia sudah matang dan mampu membincangkannya secara terbuka dengan rasional dan profesional. Belia mampu melihat perspektif baru dan cabarannya. 
Persidangan yang dihadiri wakil beberapa badan gabungan MBM, mengundang tiga pensyarah muda, iaitu Dr Lee Yok Fee dari Universiti Tunku Abd Rahman, Dr Sarjit S Gill dari Universiti Putra Malaysia dan Prof Madya Shaharuddin Badaruddin dari Universiti Teknologi Mara, sebagai ahli panel.
Dr Lee menyenaraikan dua inti pati utama Bangsa Malaysia, iaitu perpaduan dan nasionalisme. Kedua-duanya penting untuk mengekalkan aturan sosial dan kestabilan masyarakat. Dr Lee berpendapat, teras Bangsa Malaysia ialah Rukun Negara dan penghayatannya di kalangan rakyat perlu dipertingkat.
Beliau bimbang dengan tahap pembangunan kita yang belum seimbang. Kita berhadapan dengan masalah kekangan budaya. Dari segi materialnya kita maju, tetapi dari segi budaya kita belum maju hingga pembangunan sains sosial dan kemanusiaan dipinggirkan.
Peruntukan penyelidikan untuk sains dan teknologi pula mencakup 90 peratus, sedangkan untuk sains sosial hanya 10 peratus. Antara natijah budaya yang lebih mementingkan materialisme ialah berleluasanya individualisme dan hedonisme – dua perkara yang boleh meruntuhkan Bangsa Malaysia.
Dr Sarjit pula menekankan bahawa Bangsa Malaysia harus bersifat inklusif, iaitu membabitkan semua kaum, termasuk minoriti, secara saksama. Hubungan antara majoriti dan minoriti harus dipereratkan. Kepelbagaian kaum harus dijadikan kekuatan dan monopoli sesuatu pihak harus dielakkan.
Baginya, Bangsa Malaysia perlukan identiti nasional seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Rukun Negara, serta lagu dan bendera kebangsaan. Beliau juga mencadangkan agar sambutan hari perayaan anjuran kerajaan tidak diadakan setakat jamuan saja, tetapi perlu diberikan pengertian lebih luas. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pula amat penting dalam meningkatkan nasionalisme.
Beliau juga menganggap konsep Bangsa Malaysia masih belum jelas. Orang politik dan ahli akademik pula mempunyai pandangan berbeza dalam beberapa perkara pokok. Beliau berharap semua pihak menjalankan peranan masing-masing sehingga dapat mengisi makna Bangsa Malaysia.
Prof Madya Shaharuddin pula menyentuh ciri Bangsa Malaysia seperti rakyat berjiwa merdeka, tinggi patriotismenya dan berusaha untuk keluar dari minda hamba.
Rakyat perlu ada keyakinan budaya. Ia perlu dipupuk menerusi strategi pengakaran nilai agama, budaya dan tradisi sendiri demi memelihara keutuhan jati diri dan keunggulan martabat bangsa. Baginya, antara dimensi pembangunan yang terabai ialah pemerkasaan budaya dan pemimpin lazimnya gagal berfungsi sebagai pembina budaya.
Pengabaian ini dapat dilihat menerusi pembangunan ekonomi tanpa agenda pemerkasaan budaya; penyediaan prasarana ekonomi tanpa pembinaan pemikiran ekonomi; dan mengambil sains dan teknologi Barat tanpa menyerasi, mengintegrasi dan mengakarkannya ke dalam budaya dan tradisi keilmuan pribumi.
Perbincangan ini sekali lagi menonjolkan imej MBM, yang terbina sejak dulu, sebagai wajah dan citra Bangsa Malaysia. Kebijaksanaan ahlinya, terutama ketika beberapa isu politik dan agama yang bagi orang lain adalah sensitif, tetapi dibicarakan dengan harmonis ketika perbincangan ini, harus dijadikan teladan.
Lebih penting lagi, MBM khususnya, dan gerakan belia amnya, perlu meneruskan peranannya sebagai pembina budaya dalam masyarakat. Bangsa Malaysia perlu dimantapkan dengan sentuhan idealisme belia, seperti lahirnya Dasar Pembangunan Belia Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Bank Islam dan sebagainya, yang berputik daripada perbincangan seumpama ini.
Justeru, perbincangan ini perlu dilanjutkan hingga peringkat kampus, sekolah, negeri dan daerah.
Dalam hal ini, ada tiga perkara yang perlu diberikan perhatian. Pertama, kita perlu berhati-hati agar tidak berfikir dengan cara simplistik. Contohnya, dalam keasyikan membina Bangsa Malaysia, kita jangan sampai tidak mahu mengaku bangsa asal masing-masing atau kita menolak parti yang berasaskan kaum dengan alasan ia meminggirkan kaum minoriti.
Bangsa Malaysia tidak akan menjadi lebih mantap hanya kerana semua orang tidak lagi menjadi Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. Sebaliknya, tanpa kaum itu, Bangsa Malaysia tidak wujud lagi.
Menolak parti berasaskan kaum adalah sama dengan menolak perasaan primodial, iaitu manusia membentuk organisasi berasaskan sesuatu yang rapat dengannya seperti kaum sendiri.
Sementara itu, kaum minoriti terpinggir tidak ada kena mengena dengan parti politik berasaskan kaum. Walaupun orang politik tidak mempunyai parti berasaskan kaum, jika mereka tidak baik, mereka tetap meminggirkan orang lain.
Perkara kedua ialah pentingnya jiwa dan roh Bangsa Malaysia diperteguhkan. Kerajaan perlu berbelanja besar bagi memastikan Rukun Negara sebagai teras dan asas Bangsa Malaysia benar-benar dihayati, terutama di kalangan belia.
Peruntukan ini jauh lebih wajar daripada menghantar beberapa orang belia melakukan a aksi tertentu dengan tujuan mengharumkan nama negara, sedangkan hanya media kita saja yang menyiarkan beritanya.
Perkara ketiga ialah idea dan gagasan yang besar seperti ini memerlukan dialog yang sihat. Dialog bermakna pertukaran fikiran yang bebas dan bernas, yang tidak dibatasi kuasa yang keras. Ia juga perlu membenarkan dan menggalakkan pandangan dari bawah ke atas.
Dialog begini sering berakhir dengan gagasan yang dibincangkan itu menjadi dasar, program atau institusi yang konkrit. Malangnya, mereka yang terbabit dalam perbincangan begini lazimnya tidak diberikan peluang memimpin dasar, program atau institusi itu.
Justeru, sekiranya berlaku sesuatu tidak baik terhadap dasar, program atau institusi itu, mereka yang terbabit dalam perbincangan gagasan asal mampu dan sanggup mempertahankan dasar, program atau institusi itu dengan cara ebih artikulatif, konstruktif, kuat dan hebat daripada yang menjadi pemimpinnya.
Inilah bezanya seseorang yang ada idealisme dengan tidak memilikinya.
Datuk Saifuddin Abdullah adalah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002)
©The New Straits Times Press (M) Berhad |