|
Oleh Manan Samad INDEKS Belia Malaysia (IBM) 2006 yang diumumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini menyerlahkan kurangnya minat sebahagian besar daripada hampir 11.5 juta belia di negara ini untuk bersukan, bersenam dan berpersatuan, seolah-olah leka dengan kehidupan seharian.
Daripada lapan subjek atau domain dibanci, waktu senggang membabitkan kegiatan bersukan, bersenam dan berpersatuan hanya mencatat purata 21 mata iaitu dalam kategori sederhana baik.
Kategori itu ditentukan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) yang bertanggungjawab menjalankan kajian buat julung kalinya itu, tetapi dalam konteks seharian, ia boleh dianggap gagal atau dalam gred peperiksaan F.
Jika dilihat tiga pecahan dalam domain itu, sukan hanya mencatat skor 14.3 mata, bersenam, 28.8 manakala aktiviti kelab dan persatuan, 19.9 mata.
Rumusan IBM ialah belia amat kurang terbabit dalam aktiviti bersukan, amat kurang menyertai dan menjadi ahli kelab dan persatuan serta secara relatif belia lebih menumpukan kepada aktiviti senaman untuk mengisi masa senggang mereka.
Berdasarkan petunjuk IBM, sukan berada pada tahap kurang baik. Indikator yang mempunyai skor rendah adalah tenis, skuasy, renang dan permotoran, manakala bola sepak dan badminton dua jenis sukan yang secara relatif mendapat sambutan.
Ketua Pegawai Eksekutif IPPBM, Prof Dr Samsudin A Rahim berkata dalam kategori sukan, remaja di negara ini didapati masih meminati bola sepak dan badminton.
"Badminton mencatat 36.8 mata manakala bola sepak 28.2 mata, futsal 12.4 mata dan bowling 16.7 mata.
"Tetapi mengejutkan sukan yang sudah lama bertapak seperti hoki dan skuasy masing-masing hanya mencatat 5.4 dan 4.3 mata," katanya.
Bagi kategori senaman, terdapat tiga jenis senaman berada pada tahap pembabitan kurang baik iaitu berenang (14.3), senamrobik (8.4) dan aktiviti gimnasium (11.5), manakala joging (51.5) dan berjalan (58.5) menunjukkan indikator memuaskan.
Petunjuk kelab dan persatuan pula menunjukkan kelab sukan (23.7) mendapat lebih perhatian berbanding persatuan kebajikan (11.2), persatuan seni mempertahankan diri (11.1), persatuan belia (10.3), persatuan beruniform (8.3) dan persatuan rekreasi (7).
Data untuk membentuk IBM diperoleh melalui penyelidikan menggunakan sampel nasional berjumlah 4,087 responden belia berumur 15 hingga 40 tahun.
Kerja lapangan pengumpulan data dilakukan pada Mac hingga April lalu, dengan setiap ukuran domain dan indikator yang digunakan dalam kajian itu dikatakan sudah diuji dari segi kebolehpercayaan dan kesahihan.
Bancian itu turut membabitkan tujuh domain lain iaitu pembangunan kendiri mencatat 68.8 mata, hubungan sosial (73.5), kesihatan (97.7), identiti (57.7), potensi diri (59.2), ketembusan media (84.8) dan tingkahlaku devian (87.4), dengan kad skor purata gred B.
Seperkara menarik mengenai IBM ialah domain kelapan iaitu tingkah laku remaja yang tersasar.
Domain yang dibahagikan kepada sembilan kategori itu menyaksikan purata mata kedua tertinggi selepas domain kesihatan dengan purata skor 87.4.
Kajian IBM menunjukkan remaja yang tidak merokok mencatat 73.7 mata, tidak minum arak (84.2), tidak mengambil dadah (98.2), tidak berjudi (86.6), tidak membaca bahan lucah (88.9), tidak melakukan seks sebelum berkahwin (92.1), tidak melepak (73.2), tidak merosakkan harta benda awam (94.6) dan tidak berlumba haram (95.4).
Petunjuk itu tampak meragukan berdasarkan kekerapan laporan media berhubung isu itu, namun Dr Samsudin mempunyai alasan.
"Media sentiasa memaparkan berita negatif seolah-olah ia berleluasa, tetapi pendekatan kami berlainan. Responden kami membabitkan pelbagai latar belakang umur belia," katanya.
Persoalannya sejauh mana ketepatan laporan IBM itu dengan responden hanya membabitkan sebahagian kecil daripada 11.5 juta belia di Malaysia.
Menjawab persoalan itu, Dr Samsudin memberi contoh, bancian maklum balas pilihan raya di Amerika Syarikat hanya membabitkan 1,000 responden, tetapi keputusan sebenar tidak banyak berbeza.
"Bagi saya, kalau kita boleh dapat 2,000 responden pun dah bagus, kerana pola (bancian) tak banyak berbeza. Tapi untuk lebih meyakinkan, kami pilih 4,087 responden," katanya.
Kajian IBM juga mendapati remaja di Malaysia amat sihat dengan purata skor tertinggi 97.7.
Indikator tiada tekanan darah tinggi mencatat 95.6 mata, tiada penyakit kencing manis (98.5), tiada penyakit kanser (99.8), tiada sakit jantung (99.1), tiada sakit buah pinggang (99.1), tiada penyakit asma (94.2), tiada penyakit HIV/Aids (99.9) dan tiada lebihan berat/obesiti (95.0).
Domain ketiga tertinggi ialah ketembusan media dengan purata 84.8 mata membabitkan petunjuk televisyen percuma (96.9), televisyen berbayar (66.7), radio (94.8), suratkhabar/majalah (95.2), buku (84.6), telefon bimbit (93.1), komputer dan sambungan internet (79.3) dan alat CD/MP3 (6.5).
Ini diikuti domain hubungan sosial dengan purata skor 72.4 iaitu membabitkan hubungan dengan ibu bapa.
Domain pembangunan kendiri menduduki tempat kelima dengan purata skor 68.8 iaitu penghargaan kendiri (71.9), efikasi diri (71.1), motivasi (72.9), emosi (58.3), asertif (keupayaan menolak pengaruh awal - 56.5), tiada kemurungan (61.0), kurang stres (89.9).
Dua domain yang menduduki tempat keenam dan ketujuh pula menunjukkan belia masih di peringkat sederhana dalam aspek potensi diri dan identiti.
Domain potensi diri mencatat purata 59.2 mata iaitu kepemimpinan (67.2), keusahawanan (51.6) dan kemahiran (58.8).
Domain identiti pula memperoleh skor purata 57.2 membabitkan petunjuk daya saing (63.1), sukarelawan (48.1), patriotik (68.2), perpaduan (73.5) dan pembabitan politik (32.9).
Apapun, kajian seperti itu pasti akan mendapat penerimaan positif dan negatif. Namun ia cukup penting buat KBS merangka program dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Domain waktu senggang amat perlu dititikberatkan kerana ia membuktikan golongan belia di negara ini masih kurang beriadah, dan jika dipinggirkan pelbagai masalah berkait boleh berlaku pada masa depan.
Namun pada masa sama, KBS tetap perlu mengambil berat domain yang kononnya mencatat purata tinggi terutama tahap kesihatan dan tingkahlaku devian kerana ia cukup kritikal dalam membentuk generasi pemimpin masa depan. ©The New Straits Times Press (M) Berhad |